Dengan Memori Sehingga 6GB RAM
Asus Zenfone merupakan salah satu keluarga peranti yang popular di
Malaysia. Ia menawarkan kualiti binaan yang baik, dan pilihan pelbagai
jenis spesifikasi dan penawaran fungsi yang berbeza mengikut apa yang
diperlukan oleh pengguna. Asus sendiri menekankan sebanyak lebih 30 juta
peranti Zenfone telah terjual setakat ini – dan perkara ini semestinya
membuatkan Asus untuk terus hadir dengan keluarga generasi yang baru.
Dinamakan sebagai Asus Zenfone 3, sebanyak tiga variasi keluarga
telah diperkenalkan dibawahnya, iaitu Asus Zenfone 3 Deluxe, Asus
Zenfone 3 dan juga Asus Zenfone 3 Ultra.
Ketiga-tiga peranti ini membawakan perbezaan dari segi penawaran.
Namun, salah satu perkara yang membezakan ketiga-tiganya secara terbuka
adalah saiz peranti berkenaan. Asus Zenfone 3 Deluxe hadir dengan skrin
bersaiz 5.7-inci. Sementara Asus Zenfone 3 pula hadir dengan rekaan
skrin sedikit kecil iaitu 5.5-inci dan Asus Zenfone 3 Ultra pula
membawakan rekaan paling besar iaitu bersaiz 6.8-inci.
Menjadi peranti fokus pada setiap kali pengenalan adalah peranti
berspesifikasi tinggi. Untuk kali ini, Asus menyertakan pelbagai
penawaran yang menarik dan terkini pada Zenfone 3 Deluxe.
Asus Zenfone 3 Deluxe dijana menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 820, memori sehingga 6GB RAM dan ruangan storan sehingga 256GB berasaskan kepada UFS 2.0
– iaitu jenis storan yang mempunyai masa bacaan dan menulis yang lebih
pantas berbanding sebelumnya, dan telah digunakan pada telefon pintar
seperti Galaxy S6.
Asus Zenfone 3 Deluxe hadir dengan rekaan berasaskan logam
sepenuhnya. Asus dilihat berbangga dengan rekaan mereka, dimana mereka
berjaya hadir dengan rekaan yang menyembunyikan antena
berbanding dengan pelbagai jenis peranti yang lain. Pada Zenfone 3
Deluxe, tiada sebarang garisan antena pada bahagian belakang telefon
pintar berkenaan, ataupun pada bahagian tepi-atas.
Asus juga tidak menyertakan logo mereka pada bahagian hadapan
lagi seperti sebelum ini, dan hanya memposisikan logo mereka pada
bahagian belakang, dibawah. Ini menjadikan ia kelihatan lebih kemas
berbanding sebelumnya yang sering diposisikan pada bahagian hadapan.
Ketiga-tiga Asus Zenfone 3 hadir dengan sokongan rangkaian 4G LTE, dan menyokong dwi-SIM.
Walaubagaimanapun, ruangan SIM kedua adalah berbentuk hibrid, dan
pengguna boleh memilih sama ada ingin menggunakan kad SIM ataupun kad
mikro-SD sahaja.
Asus Zenfone 3 Deluxe ini turut menyertakan ruangan pengimbas cap jari
pada bahagian belakang untuk tujuan sekuriti tambahan. Disamping hanya
sekuriti, pengguna turut boleh menggunakannya untuk beberapa akses
pantas – sebagai contoh tap dua kali pada sensor pengimbas cap jari
untuk membuka aplikasi kamera.
Bercakap pada bahagian kamera, Asus dilihat menyertakan kebolehan memfokuskan dengan pantas pada kamera 23-megapixel
di belakang. Beberapa kali kami mencubanya, dan ia beroperasi dengan
lancar, dan ada beberapa kali kami melihat ia mengalami masalah lengah
masa sedikit. Namun, memandangkan ia masih menggunakan binaan ZenUI
jenis eksperimental, maka perkara ini adalah sesuatu yang difahami.
Fungsi rakaman yang dinamakan Super Resolution turut disertakan yang mengabungkan rakaman beberapa gambar dan menjadikan ia gambar pada resolusi yang sangat tinggi.
Pada Zenfone 3 Deluxe, beberapa mod rakaman turut disertakan. Selain
rakaman automatik, manual dan sebagainya, pihak Asus turut menyertakan
sebuah mod rakaman dinamakan Children Mode. Melaluinya,
pengguna boleh memainkan bunyi, dan ia akan merakamkan gambar secara
automatik apabila wajah memandang kamera – sekaligus menjadikan ia salah
satu fungsi yang sangat berguna sekiranya anda ingin merakamkan gambar
anak anda.
Asus Zenfone 3 Deluxe juga merupakan keluarga telefon pintar pertama yang menggunakan pengecasan berasaskan USB Type-C. Namun, dari segi penawaran bateri, ia sekadar menyertakan bateri berkapasiti 3000mAh sahaja.
Dari segi sistem operasi, Asus Zenfone 3 Deluxe dijana menggunakan Android 6.0 Marshmallow
dan antaramuka khusus daripada Asus, iaitu ZenUI 3.0. Daripada
pengamatan kami, Asus Zenfone 3 Deluxe menawarkan bilangan aplikasi
terbina yang lebih sedikit berbanding dengan telefon pintar sebelum ini,
tetapi beberapa aplikasi yang hadir masih boleh dikategorikan sebagai bloatware.
Walaupun menawarkan spesifikasi yang baik, namun harga jualan Asus
Zenfone 3 Deluxe adalah lebih tinggi berbanding dengan penawaran
pelbagai peranti Zenfone sebelum ini yang lebih menyasarkan pengguna di
rantau Asia. Menyedari perkara ini, pihak Asus turut menyediakan peranti
Asus Zenfone 3 dengan spesifikasi pertengahan.
Asus Zenfone 3 hadir dengan skrin bersaiz 5.5-inci berasaskan Super IPS+ LCD dan bukannya Super AMOLED seperti Deluxe. Dari segi spesifikasi, ia dijana menggunakan cip Snapdragon 625, memori sehingga 4GB RAM dan ruangan storan sehingga 64GB.
Asus Zenfone 3 menggunakan binaan berasaskan kaca pada bahagian belakang.
Ini menjadikan ia lebih selesa untuk dipegang berbanding dengan Zenfone
3 Deluxe. Mungkin juga saiznya yang sedikit kecil turut memainkan
peranan sama dalam menjadikan peranti ini lebih selesa ditangan.
Untuk rakaman gambar, Zenfone 3 menggunakan kamera belakang 16-megapixel dan kamera hadapan 8-megapixel. Agak pelik sedikit kerana kami mendapati Asus Zenfone 3 mempunyai lebih banyak mod rakaman
berbanding dengan Asus Zenfone 3 Deluxe yang hanya mempunyai beberapa
mod sahaja. Dari segi perisian, ia menawarkan perkara yang lebih kurang
sama, termasuk penggunaan pengimbas cap jari pada bahagian belakang.
Salah satu perkara yang mungkin mengecewakan pengguna untuk Asus Zenfone 3 adalah ketiadaan lampu pada butang navigasi dihadapan – berbeza dengan Asus Zenfone 3 Deluxe.
Bagi anda yang meminati peranti bersaiz besar dan ingin
menggunakannya untuk membuat input atau menikmati multimedia, salah satu
telefon pintar yang disediakan oleh Asus adalah Asus Zenfone 3 Ultra. Ia hadir dengan skrin bersaiz 6.8-inci dengan paparan 1080p, disamping menawarkan cip pemprosesan Snapdragon 652 dan memori sehingga 4GB RAM.
Asus Zenfone 3 Ultra ini dilihat turut menyertakan sokongan kamera seperti Asus Zenfone 3 Deluxe dan kapasiti bateri sehingga 4600mAh. Berbeza dengan kedua-dua peranti Asus Zenfone 3 lain, Zenfone 3 Ultra menyertakan pengimbas cap jari pada bahagian hadapan, di butang Home.
Ini mungkin lebih praktikal kerana ia agak sukar untuk mencapai jari ke
bahagian belakang ketika menggunakannya pada peranti bersaiz sebegini.
Keluarga Asus Zenfone merupakan antara peranti yang popular di
pasaran tempatan, dan semestinya harga akan memainkan peranan yang
sangat penting dalam memastikan penerimaan peranti ini di kalangan
pengguna. Penggunaan cip Snapdragon dari Qualcomm menggantikan Intel
sebelum ini sendiri mungkin menarik lebih ramai pengguna menggunakannya,
apatah lagi dengan rekaan yang lebih baik dan premium berbanding dengan
Zenfone 2 sebelum ini.
Asus Malaysia telah mengatakan mereka akan memasarkan peranti ini di Malaysia sekitar bulan Ogos kelak.